28 March 2007

Keliru 'Kami' dan 'Aku'


artikel ini aku ambil dari akhbar Mingguan Malaysia ( 18 Mac 2007 ). sekadar berkongsi maklumat jadi baca lah seterusnya

Soal Jawab Agama bersama MOHD YUSOF ABAS

SOALAN : Saya membaca tafsir al-Quran dan banyak kali bertemu dengan firman Allah S.W.T yang menggunakan perkataan 'Kami' bukan 'Aku' sedangkan Allah itu Satu dan Esa, sedangkan 'Kami' itu bukan bererti Esa. Adakah tafsiran tersebut salah?

JAWAPAN : Tafsiran tersebut bukan salah malah tepat dan benar sesuai dengan kebesaran ALLAH yang mana dalam istilah Arab perkataan 'kami' itu ada dua makna, satu 'kami' ada yang bermakna ramai, dan satu lagi perkataan 'kami' juga yang bermakna beta atau mereka yang membesarkan dirinya. Jadi tidak salah kalau dalam al-Quran Allah menggunakan perkataan 'Kami' dengan makna yang kedua ini iaitu untuk menyatakan kehebatan dan kebesaran-Nya. Orang Arab sendiri bila ingin membesarkan seseorang tertentu atau memuliakannya, mereka akan menggunakan perkataan kamu bukan engkau atau awak, kata ganti nama jamak ini digunakan bagi memuliakan seseorang tertentu. Ini sudah menjadi adat kebiasaan mereka seperti mereka yang bercakap dengan guru atau siapa sahaja yang dianggap mulia dan besar atau berpangkat mereka menggunakan perkataan kamu atau jamak ini. Dalam budaya kita juga ada bahasa tertentu yang khusus digunakan untuk mereka tertentu seperti raja dan sebagainya seperti beta, Yang Dipertuan dan lain-lain. Bagi kita orang islam tetap meyakini keesaan Allah dalam segala-galanya sama ada pada zat, sifat dan perbuatan-Nya dan menafikan segala 'kam' (berbilang) sama ada yang muttasil atau yang munfasil tidak ada sekutu bagi-Nya. Itulah ajaran agama yang sebenar. Dialah Tuhan yang tidak ada Tuhan yang sebenar-benar dan berhak disembah melainkan Dia, lagi tunggal tiada sekutu bagi-Nya. Ditangan-Nyalah segala kebaikan, bagi-Nya penguasaan segala kerajaan bagi-Nya milik segala kepujian, Dia Maha Berkuasa atas segala-galanya, tidak ada mereka yang dapat menghalang bagi apa yang telah dikurniakan-Nya dan tidak ada siapa yang dapat memberi bagi apa yang sudah ditolak-Nya dan tidak ada siapa yang dapat menolong sekalipun dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Wallahualam.


No comments: